Sedar sedia kerjasama, tubuh khemah besar parti pembangkang Sarawak bagi hadapi GPS

Didi (duduk kanan) merakam kenangan bersama ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang.

KOTA SAMARAHAN—Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) bersedia menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang tempatan lain di negeri ini dalam menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak. 


Pengerusi Tetap Sedar Didi Udin berkata, kerjasama itu bagi memastikan parti-parti pembangkang tempatan tidak bertembung satu sama lain, sehingga memberi "keuntungan" kepada GPS. 



Jelasnya, usaha ke arah menubuhkan satu khemah besar bersama parti-parti pembangkang tempatan di Sarawak masih giat dijalankan. 


"Kita mahu berkolaborasi dengan mana-mana parti (pembangkang) lain dan satu lawan satu adalah matlamat kita," katanya sambil menambah rundingan masih dijalankan melibatkan Presiden Sedar Datuk Othman Abdillah dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ramah tamah Aidilfitri di kediamannya, Jalan Uni Garden di sini baru-baru ini. 


Tegas Didi, Sedar telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 bila-bila masa. 


Katanya lagi, calon-calon berpotensi dari parti itu juga telah dikenal pasti dan diyakini mampu merampas kerusi Parlimen daripada GPS. 


"Kita telah bersedia, cepat atau lewat, PRU pasti diadakan selewat-lewatnya Mei 2023.


"Malah, pembahagian kerusi telah dibincangkan...calon berpotensi telah di kenal pasti," ujarnya. 

Next Post Previous Post