Sebuah kompleks penapisan gas masam akan dibina di Bintulu


KUCHING-- Sebuah kompleks loji penapisan gas masam akan dibina di Bintulu yang merupakan sebahagian dari projek Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES) bagi memanfaatkan potensi rizab luar pesisir di negeri ini. 


Ini dengan pemeteraian perjanjian antara kerajaan Sarawak melalui SEDC, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PTTEP HK Offshore Ltd dan Sarawak Shell Bhd untuk projek SISGES. 


Ia satu lagi pencapaian penting bagi Sarawak ke arah menjamin bekalan gas yang mampan untuk pasaran industri dan domestik. 



Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersempena dengan Jerayawara Minyak & Gas, Perkhidmatan & Peralatan (OGSE) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.


Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. 


Terdahulu, berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata melalui OGSE, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memudahkan syarikat OGSE beralih kepada nilai lebih tinggi dan meneruskan kemampanan.



Tambahnya lagi, ini satu lagi pencapaian penting bagi Sarawak ke arah menjamin bekalan gas yang mampan untuk pasaran industri dan domestik. 


Beliau memberitahu, inisiatif itu membantu pemain industri untuk memanfaatkan kecekapan dan mengembangkan perniagaan mereka secara mampan untuk bersaing di luar negara dan merentas sektor, meluaskan aliran industri dan keuntungan.


Beliau berkata ini mengesahkan komitmen Sarawak untuk mengekalkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif untuk pertumbuhan mampan industri minyak dan gas, kedua-dua huluan dan hiliran.


“Saya optimis dengan pengecualian Sarawak daripada Akta Pengagihan Gas dan diberi kuasa penuh di bawah Ordinan Pengagihan Gas kita, negeri ini mampu melakar ke hadapan dengan yakin di bawah Pelan Tindakan Pengagihan Gas kita untuk terus memacu pembangunan dalam industri minyak dan gas Sarawak bagi huluan dan hiliran,” katanya.


Turut hadir adalah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Petroleum Sarawak Bhd Tan Sri Hamid Bugo dan Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corp Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus.

Next Post Previous Post