Sasar 195 robot setiap 10,000 tenaga kerja pada 2030

Dr Adham melihat pameran dron yang diadakan semasa Majlis Prapelancaran Pertandingan Drone Edu Challenge 4IR (DEC4IR) hari ini. Gambar kredit MOSTI

ISKANDAR PUTERI— Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan nisbah 195 unit robot bagi 10,000 tenaga kerja manusia menjelang 2030.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata setakat ini, nisbah jumlah robot kepada tenaga kerja manusia hanya 55 unit nisbah 10,000 orang.


Beliau berkata antara teknologi robot yang berpotensi untuk dikembangkan dan satu keperluan pada masa ini adalah teknologi robotik dron.


“Majlis Sains Negara baru-baru ini telah meluluskan Robotic Talent Development Academy dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan di bawah beberapa kementerian termasuk MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


“Kita bukan sahaja menganalisis keperluan semasa tetapi juga melatih bakat melalui akademi itu bagi memastikan nisbah robot kepada pekerja iaitu 195 robot kepada 10,000 pekerja menjelang 2030 tercapai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Pertandingan Drone Edu Challenge 4IR (DEC4IR) di Tapak Pengujian Dron, DRZ Iskandar di sini hari ini. 


Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu, MOSTI bekerjasama dengan KPM untuk memperkenalkan industri dan teknologi dron dalam silibus bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah.


Dr Adham dalam ucapannya berkata menerusi kerjasama MOSTI dan KPM, teknologi dron seperti reka bentuk, penggunaan dan kecerdasan buatan dapat diperkenalkan sebagai modul STEM dalam kurikulum dan ko-kurikulum sekolah untuk memastikan lebih ramai menjadikan bidang itu sebagai pilihan kerjaya masa depan.


“Teknologi dron akan berkembang lebih pesat dan laporan Drone Industry Insights tahun lepas menyatakan hasil industri dron dalam sektor komersial diramal berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 9.4 peratus menjelang 2026 di seluruh dunia dengan pasaran global dijangka mencapai sehingga AS$41.3 bilion,” katanya.


Berhubung DEC4IR, Dr Adham berkata MOSTI menyasarkan 5,000 pelajar sekolah dari seluruh negara menyertai pertandingan yang berlangsung bermula bulan ini hingga Oktober depan.


Menurut beliau, DEC4IR pada 2020 telah memberi impak positif kepada lebih 3,500 pelajar diberi pendedahan terhadap dron, robotik, pengaturcaraan selain 100,000 peserta lain yang menyertai program itu secara maya.


“Pelbagai aktiviti bakal dijalankan dalam program ini seperti pembelajaran anatomi dron, penyelesaian masalah menggunakan dron, pengendalian dan juga penerbangan menggunakan kod yang dibina sendiri sekali gus menjadikan anak-anak muda lebih kreatif,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post