Sarawak hasrat eksport 100,000 tan hidrogen ke Korea Selatan

Abang Johari (kanan) semasa sidang media, kelihatan sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

KUCHING—Sarawak berhasrat mengeksport 100,000 tan hidrogen ke Korea Selatan menjelang 2025 nanti bagi meningkat hasil pendapatan negeri.


Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, apabila ia berlaku, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan kerana Sarawak memerlukan kemahiran jurutera dan pembantu teknikal.


Bagi tujuan itu katanya, dua loji pemprosesan gas bakal dibina di Kidurong, Bintulu yang mampu menjana pendapatan besar kepada Sarawak dalam bidang industri gas.


“Kedua-dua loji tersebut bakal mendatangkan pendapatan berjumlah RM48 billion menerusi pelaburan daripada dua syarikat asing,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada penangguhan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam. 


Menurut Presiden PBB itu, kedua-dua loji dijangka dapat disiapkan dalam masa lima tahun akan datang selain memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.


“Pada minggu lepas, ada orang (pelabur) datang ke Sarawak untuk melabur dalam gas separation (proses pemecahan gas). Kita telah luluskan tempat pembinaan lojinya dan sebuah loji pelaburannya bernilai RM6 billion USD.


“Sebuah lagi syarikat turut berminat untuk melabur dalam bidang yang sama kerana hanya Sarawak yang mempunyai gas itu. Jadi dua loji ini akan memberi pulangan kepada Sarawak berjumlah RM48 billion,” katanya

Next Post Previous Post