Sarawak dalam perbincangan bekal elektrik ke Singapura

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari ketika merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

KUCHING— Sarawak masih dalam perbincangan untuk membekalkan tenaga elektrik ke Singapura.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, negara itu berminat untuk mendapatkan bekalan elektrik dari Sarawak untuk membangunkan ekonomi digital mereka.



“Singapura berkehendakkan elektrik, jadi saya beritahu mereka yang Sarawak hanya boleh beri maksimum 1,000 megawatt, tidak lebih dari itu.


 Tetapi kalau mereka mempunyai sebarang pelaburan berkaitan tenaga, bawa ke Sarawak dan mereka pada dasarnya bersetuju,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.


Menurut Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu lagi, pusat data adalah nadi bagi ekonomi digital seperti Microsoft, Google, Amazon dan Singapura mahukan tenaga itu.


“Singapura mungkin tidak dapat keluarkan tenaga, kenapa tidak kita bekerjasama, biarlah Microsoft, Amazon datang ke Sarawak dan tubuhkan pusat data di Sarawak,” katanya.


Abang Johari menambah, langkah ini adalah salah satu strategi kerajaan bagi menambah hasil negeri untuk dimanfaatkan rakyat di negeri ini.


Dalam pada itu katanya, Parti PBB juga menyediakan masa depan yang cerah untuk golongan belia di negeri ini dan cadangan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat adalah untuk golongan berkenaan.


"Kita (PBB) mengalu-alukan sayap belia 1828 (belia yang berumur  18 hingga 28 tahun) dan PBB memang berkehendakkan mereka.


"Kita tubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat untuk golongan belia ini termasuk kepada mereka yang belum lagi lahir.


"Ini adalah untuk masa depan mereka dan biarlah kita bekerja hari ini. Itulah sebab kita tidak takut bila parlimen meluluskan Undi 18 , kita tahu golongan belia berusia 18 tahun bersama kita kerana kita prihatin terhadap mereka," katanya.


Beliau turut menambah, kerajaan juga akan memberi pendidikan yang percuma kepada anak Sarawak sekiranya mempunyai lebihan dana.


Katanya, perkara itu sememangnya menjadi hasrat beliau agar Sarawak dapat melahirkan lebih ramai anak-anak yang berilmu.

Next Post Previous Post