Sarawak dalam laluan merealisasikan impian
Gambar arkib. Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Jajaran Julau |
KUCHING—Selain beberapa permukaan jalan yang tidak rata, pemanduan sejauh 750km dari Kuching ke Miri berjalan lancar.
Perjalanan selama tiga hari itu yang memilih Sibu dan Bintulu untuk lokasi bermalam, menyaksikan keluasan negeri Sarawak. Saya melalui lapan negeri sekiranya memandu sejauh itu - dari Perlis ke Johor - di Semenanjung Malaysia!
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang hampir siap adalah tidak mengecewakan.
Walaupun perlahan tapi pasti Sarawak akan berjaya merealisasikan impian yang sudah berpuluh tahun lamanya.
Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo sepanjang lebih 2,000km merentasi bahagian utara Pulau Borneo hampir siap sepenuhnya.
Pemandu turut berpeluang merentasi kawasan hutan dan menyeberangi sungai.
Perjalanan itu turut melalui ‘Rumah Panjang’, rumah tradisional masyarakat peribumi Sarawak.
Di beberapa kawasan apabila lebuh raya itu bergabung dengan jalan raya yang ada, laluan agak sibuk. Namun seringkali juga pemandu berasa sunyi apabila hanya ‘ditemani’ alam semula jadi.
Walaupun masih lagi dalam pembinaan, keadaan lebuh raya agak baik dan di beberapa laluan, perjalanan adalah lancar.
Di sesetengah laluan, keadaan jalan adalah beralun yang sesuai dilalui kenderaan pikap.
Pengumuman pada tahun 2015 mengenai permulaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo fasa Sarawak, idea yang dicetuskan pada 1960-an, disambut dengan gembira oleh warga Sarawak.
Bagi mereka, ia adalah impian yang bakal direalisasikan. Fungsinya lebih daripada lebuh raya yang menghubungkan semua komuniti di sepanjang laluan itu. Ia akan menjadi pencetus bagi aktiviti ekonomi.
Pertukaran kerajaan Persekutuan pada 2018 dan pandemik COVID-19 telah menyebabkan kelewatan. Fasa Satu projek itu yang dibina dengan kos RM16.117 bilion, sepatutnya siap pada 2021. Kini ia telah 85 peratus siap.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yakin 20 daripada 25 seksyen dalam fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo, sepanjang 786km dari Telok Melano ke Miri, dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Baki lima seksyen lagi iaitu Bukit Begunan, Spaoh, Lambir, Tatau dan Sarikei, dijangka siap pada April tahun depan, katanya kepada pemberita baru-baru ini. Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo dari Limbang ke Lawas, dijangka siap pada 2028.
Fadillah berkata kontraktor bagi lima seksyen di lebuh raya itu menghadapi beberapa masalah termasuk kekurangan tenaga kerja dan kos bahan binaan yang meningkat berikutan pandemik COVID-19.
Selepas pandemik tercetus, ramai pekerja yang pulang ke negara asal, menyebabkan kontraktor hanya dapat menggunakan khidmat 70 peratus tenaga kerja asal mereka, jelasnya.
“Selain itu, bekalan bahan mentah seperti batu dan pasir turut terjejas berikutan penutupan kuari dan lombong. Kos diesel dan keluli yang lebih tinggi juga memberi kesan,” katanya.
Penasihat projek Musyati Sdn Bhd, John Lee Chin Seng, seorang daripada kontraktor berkata kenaikan harga minyak sawit, telah menarik pekerja sektor pembinaan ke sektor perladangan.
Beliau berkata kekurangan tenaga kerja itu telah menyebabkan kelewatan projek syarikatnya tetapi beliau yakin pembinaan itu akan dapat disiapkan.
“Strategi kami sekarang adalah untuk mengoptimumkan tenaga kerja kami dan menyelesaikan seksyen projek yang melibatkan banyak aliran trafik bagi mengelakkan kesesakan. Sebaik kami selesai dengan tugasan ini, kami akan menumpukan di bahagian projek yang lain,” katanya.
Menyedari masalah itu, Kementerian Kerja Raya telah memberikan komitmen untuk membantu kontraktor yang bergelut dengan masalah itu. Perbincangan sedang dijalankan dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kenaikan kos bahan binaan.
Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan kira-kira 14,000 permohonan untuk merekrut pekerja asing dalam sektor binaan. Ini dijangka dapat membantu beberapa projek pembinaan yang mengalami kelewatan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo.
Walaupun belum siap sepenuhnya, Lebuhraya Pan Borneo telah pun memberi kesan positif seperti yang boleh disaksikan di sepanjang 786km lebuh raya itu dari Telok Melano ke Miri. Aktiviti ekonomi berkembang pesat, menghubungkan bandar dengan kawasan luar bandar dan komuniti.
Bagi rakyat Sarawak, lebuh raya itu bukan sekadar jalan asphalt, agregat dan pasir tetapi impian untuk direalisasikan, walaupun terpaksa ‘bertatih’.
-- BERNAMA