Sarawak bina kilang hidrogen pertama di Samalaju

Dr Hazland menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara ZHA Environmental Sdn. Bhd. (ZHA).

KUCHING—Sarawak akan mewujudkan sebuah kilang hidrogen pertama di Samalaju, BIntulu tahun ini kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.


Beliau berkata, ia melibatkan kerjasama dua syarikat besar dari luar negara iaitu Samsung dari Korea dan Sumitomo dari Jepun. 


Pelancaran Sarawak Environmental Awareness' di laman Facebook yang akan dikendalikan oleh syarikat ZHA dan SAl 


Katanya, pembinaan kilang berkenaan akan mula dijalankan tahun ini dengan operasi pembinaan kilang dijangka mengambil tempoh hingga tiga tahun untuk disiapkan.


“Kilang itu nanti akan digunakan untuk menghasilkan tenaga hidrogen untuk dieksport.


Ia akan menjadi sumber ekonomi negeri baharu selain hasil kutipan cukai jualan (SST) Sarawak ke atas produk petroleum yang kita peroleh,” katanya berucap dalam majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Mydin Tunku Vista Petra Jaya, di sini, hari ini.


Menurut Dr Hazland, Sarawak beruntung kerana dianugerahkan pelbagai sumber asli seperti sungai-sungai serta kadar hujan yang tinggi.


Disebabkan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan menggunakan sumber asli yang terdapat di negeri ini dengan memberi keutamaan terhadap penggunaan hidrogen.


Namun begitu kata Dr Hazland, tidak bermakna Sarawak akan menggunakan 100 peratus kuasa hidrogen, sebaliknya Sarawak hanya menggunakan 60 peratus kuasa hidrogen dan tetap menggunakan kuasa-kuasa biasa seperti solar, elektrik dan gas.


Ujar beliau, langkah mewujudkan kilang hidrogen bukan hanya menambah sumber pendapatan melalui hasil eksport malah mengurangkan kebergantungan minyak dan gas dari negara-negara luar.


“Penggunaan hidrogen dijangka menjadi sumber tenaga utama pada masa akan datang kerana ia mampu menghasilkan kuasa elektrik. 


Malah saya menjangkakan kos hidrogen pada masa akan datang bakal sama dengan kos petrol, elektrik dan bateri.


“Bagaimanapun sekarang ini kos hidrogen agak mahal berikutan ia lebih banyak digunakan untuk industri-industri berat seperti kilang, simen, besi, baja, pembuatan kenderaan berat seperi bas, kapal, feri dan keretapi,” katanya.


Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara ZHA Environmental Sdn. Bhd. (ZHA) diwakili pengarahnya Bernard Yong dan Sar-Alam Indah Sdn Bhd (SAl) pengarah eksekutif SAI, Hilton Law.


Dr Hazland turut melancarkan 'Sarawak Environmental Awareness' di laman Facebook yang akan dikendalikan oleh syarikat ZHA dan SAl sebagai platform berkongsi maklumat inisiatif dan aktiviti alam sekitar yang berterusan di Sarawak.

Next Post Previous Post