Sarawak beri permit 5 tahun untuk pekerja sektor strategik, Abang Jo
Sekitar pelancaran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 kelima di sini hari ini. Gambar kredit Sarawakku |
KUCHING— Sarawak akan mengeluarkan permit pekerja selama lima tahun khusus buat tenaga pekerja professional dalam sektor strategik di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu dibuat bagi menyokong ekonomi Sarawak yang kini memerlukan lebih banyak tenaga mahir.
Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke peringkat Kabinet serta Imigresen negeri dan dijangka dikuat kuasakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.
“Kita akan beri secara sekali gus lima tahun kepada mereka, sekarang ini mereka perlu perbaharui pas mereka tiap-tiap tahun.
“Kita tidak beri tempoh lima tahun ini kepada semua, cuma ada kategori tertentu sahaja dalam sektor strategik seperti jurutera,” katanya.
Abang Johari berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 kelima di sini hari ini.
Persidangan dua hari itu, yang bermula hari ini, merupakan platform untuk peserta berkongsi idea baharu, membangunkan strategi, menangani isu dan cabaran untuk memajukan Ekonomi Digital mampan.
Mengulas lanjut, beliau berkata tenaga mahir dari luar diperlukan terutama bagi menyokong agenda ekonomi hijau dan hidrogen yang dibawa oleh kerajaan negeri.
“Bidang-Bidang ini memerlukan pekerja profesional serta mahir seperti para saintis dan kita juga memerlukan pakar dalam bidang fizik,” katanya.
- - BERNAMA