Rasuah lulus ujian GDL: SPRM tahan 6 individu termasuk penguat kuasa


SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai enam individu termasuk dua pegawai penguat kuasa agensi kerajaan kerana disyaki terlibat dengan rasuah bagi meluluskan ujian memandu kelas Kenderaan Perdagangan (GDL) menerusi institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan. 


Selain dua pegawai penguat kuasa tersebut, empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pekerja di institusi memandu. 


Difahamkan, lima daripada enam suspek lelaki tersebut kini telah direman selepas Penolong Kanan Pendaftar Khairunnisa Kasa membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini.


Empat daripada mereka direman selama lima hari, seorang selama tiga hari manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM disebabkan faktor kesihatan.


Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 65 tahun tersebut ditahan kira-kira jam 5 petang hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam. 


Katanya, mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM300 sehingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan. 


Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. 


Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) & Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. 

Next Post Previous Post