Polis tahan remaja ugut ayah kandung
Suspek ditahan selepas melakukan ugutan jenayah terhadap ayah kandungnya di sebuah rumah panjang di Saeh, awal pagi tadi. Gambar kredit Polis Batu Niah |
NIAH— Polis menahan remaja lelaki berusia 18 tahun selepas didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ayah kandungnya, dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Jalan Sungai Saeh, Batu Niah hari ini.
Remaja tersebut ditahan selepas ayahnya berusia 55 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Batu Niah kerana bimbang anaknya akan mencederakannya.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan suspek telah ditahan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri bersama unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Batu Niah di rumah panjang tersebut.
“Dalam kejadian sekitar pukul 1 pagi tadi, suspek telah melakukan ugutan jenayah untuk mencederakan ayahnya. Pengadu kemudian membuat laporan kerana bimbang keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.