PKR Sarawak: Klinik Kampung Long Busang terbengkalai?


BELAGA-- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung Projek Klinik Kerajaan Kampung Long Busang yang sepatutnya siap 24 Julai 2022, dilihat seperti terbengkalai. 



Sekreteriat Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata beliau telah menerima aduan daripada penduduk Long Busang Belaga yang bertanyakan mengenai projek kerajaan persekutuan di Long Busang, Belaga iaitu antara perkampungan paling pedalaman di Sarawak dalam Parlimen Hulu Rajang.



Jelasnya, projek yang dimaksudkan adalah pembinaan sebuah projek klinik Kerajan yang bernilai RM3 Juta oleh kerajaan. 


"Projek itu dijangka siap pada 24 Julai, 2022 ini, bagaimanapun hanya tinggal sebulan lebih sahaja lagi untuk sampai ke tarikh ia dijangka siap itu. 



"Tetapi tidak ada kelibat bangunan klinik berkenaan sedang diteruskan pembinaannya semula walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19 sekarang yang bermula bulan April lalu," katanya dalam kenyataan hari ini. 



Tambah Abun, rumput juga telah tumbuh panjang pada rangka bangunan klinik berkenaan.



"Bila agaknya klinik Long Busang akan siap sebenarnya? Adakah mengikut jadual akan siap pada 24.7.2022 ini? 


"Adakah projek klinik tersebut yang bermula sejak tahun 2015 telah menjadi projek gajah putih yang tidak mungkin dapat lagi disiapkan?," soalnya lagi. 



Selain itu, beliau memberitahu, status pembinaan klinik yang tergendala ini juga diperolehi daripada peserta “Ladung Bio’ iaitu acara Perhimpunan Besar Kaum Kenyah Sarawak pada 20 hingga 22 Mei lalu yang turut dihadiri oleh semua wakil rakyat di Parlimen Hulu Rajang iaitu Ahli Parlimennya Wilson Ugak Kumbong, ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang dan ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon. 


Oleh itu tegasnya, penduduk Long Busang sangat berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyambung semula pembinaan projek klinik ini dengan segera.

Next Post Previous Post