Pindaan penubuhan sayap belia PBB diluluskan

Gambar kredit UKAS

KUCHING— Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 telah meluluskan pindaan utama bagi penubuhan sayap Pergerakan Belia melibatkan Artikel 23A selepas Artikel 23 Perlembagaan Parti berkuat kuasa serta-merta.


Presiden parti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi pindaan ini, parti akan menerima mereka berusia 18 hingga ke 28 tahun sebagai ahli sayap belia.


Penubuhan itu akan menjadi platform parti untuk melatih pemimpin pelapis untuk menerajui kepimpinan parti pada masa depan. 


“Melalui sayap belia, mereka berpeluang mempelajari selok-belok dan cara-cara kita berpolitik secara rasional.


Selain itu membolehkan mereka melihat bagaimana pembangunan berjalan dari semasa ke semasa,” katanya.


Premier Sarawak itu berkata demikian ketika berucap pada penangguhan Perhimpunan Agung PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.


“Apabila mereka berusia 28 tahun nanti, mereka sudah mempunyai latar belakang berpolitik secara berhemah dan akan memasuki sayap pemuda dan wanita.


“Setelah mereka masuk ke sayap pemuda atau wanita pula, mereka sudah mempunyai pengalaman luas dan ini membantu mereka menjalankan tugas parti,” katanya.


Pada masa yang sama katanya, sayap belia ini dapat menjadi platform kepada mereka untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat, negeri serta negara.

Next Post Previous Post