PGA Briged Sarawak rampas 4,800 karton rokok putih, 137 karton bir

Rampasan rokok putih dan bir dalam Op Kontraban oleh Cawangan Risik Batalion 12 PGA, Miri. Gambar PGA Briged Sarawak


MIRI—Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas rokok putih dan minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM767,612.20, 14 Jun lalu.

Menurut Komander, Briged Sarawak, SAC Dr Che Ghazali Che Awang, rampasan yang dilakukan menerusi Op Kontraban itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 12 PGA, Miri.

Katanya, dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, pasukan menjalankan serbuan dan pemeriksaan di lokasi sekitar Taman Bumiko, Miri disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan bir belum lulus cukai Kastam.

"Melalui serbuan itu, pasukan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 37 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Che, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 4,800 karton (960,000 batang) rokok putih, 137 karton (926,798.4 liter) bir pelbagai jenama yang disimpan di dalam stor penyimpanan barang dan sebuah kenderaan.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM767,612.20 termasuk cukai merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM720,000 dan nilai rampasan bir sebanyak RM22,612.20 serta sebuah kenderaan bernilai RM25,000.

Sementara itu katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak polis Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Secara keseluruhan, sepanjang pengoperasian Op Kontraban dilaksanakan sejak awal tahun hingga 15 Jun 2022, Briged Sarawak PGA mencatatkan kejayaan bernilai RM20.09 juta dengan merekodkan 49 kes.

"Daripada jumlah kes tersebut ia melibatkan jumlah tangkapan seramai 62 orang terdiri daripada 55 lelaki, 3 perempuan warga tempatan dan 4 lelaki warga asing serta rampasan 32 kenderaan pelbagai jenis," katanya lagi.
Next Post Previous Post