Penutupan Lorong Stampin 28 dan 47 demi keselamatan orang awam

Penutupan Lorong Stampin 28 dan 47 adalah disebabkan faktor keselamatan 

KUCHING—Penutupan Lorong Stampin 28 dan 47 adalah disebabkan faktor keselamatan memandangkan ia adalah tapak pembinaan selain laluan jentera berat yang terlibat dalam projek pembinaan.


Kaunselor Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kaunselor (Cr) Kho Teck Wan berkata,  sekiranya jalan tersebut tidak ditutup, ia akan mendatangkan bahaya kepada mana-mana pejalan kaki dan kenderaan yang lalu lalang.



"Penutupan jalan masuk itu adalah sebahagian daripada projek pembinaan jalan yang lebih besar yang menghubungkan jalan Muara Tuang dan persimpangan Aeroville.


"Apabila siap nanti, ia akan menyediakan laluan alternatif bagi penduduk Kota Samarahan untuk sampai ke Bandaraya Kuching melalui persimpangan Batu 6 dan Lebuhraya Kota Samarahan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Trafik dan Kerja Raya MBKS tersebut berkata demikian bagi menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Stampin, Chong Chien Jen mengenai penutupan jalan masuk antara Lorong Stampin 28 dan 47.


Lorong 28 Skim Penempatan Semula Stutong telah ditutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiapkan projek jambatan menghubungkan Skim Penempatan Semula Stutong ke Sungai Tapang dan Samarahan.


Cr Kho menambah, pasukan MBKS diketuai Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hon Seng bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap telah bertemu pasukan JKR yang bertanggungjawab dalam pembinaan jalan masuk dari Muara Tuang ke persimpangan Aeroville pada Isnin.


Katanya, menerusi perjumpaan tersebut, pihak JKR telah mengatakan bahawa bagi memudahkan aliran trafik akibat penutupan jalan masuk antara Lorong stampin 28 dan 47, dua laluan ganti sementara telah dicadangkan oleh pasukan pembinaan JKR.  


"Laluan 1 yang menghubungkan Lorong Stampin 24 dan Lorong Stampin 30 telah siap dan dibuka untuk lalu lintas sejak Februari 2022. 


"Laluan 2 yang menghubungkan Lorong Stampin 28 dan Jalan Stampin Baru kini sedang dibina dan dijadualkan dibuka untuk kegunaan kenderaan pada Ogos 2022.


"Jalan tertutup sedia ada yang menghubungkan Lorong Stampin 28 dan 47 akan ditutup secara kekal sebaik sahaja pembinaan jalan masuk dari Muara Tuang ke persimpangan Aeroville siap," ujarnya.


Dalam pada itu Cr Kho turut menjelaskan, meksipun Chong mendakwa bahawa dana projek telah diluluskan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, namun projek itu telah diluluskan di bawah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf pada Januari 2018. 


"Projek itu tidak dilaksanakan pada masa pemerintahan PH mengakibatkan wakil rakyat Kota Sentosa, Wilfred Yap mengeluarkan akhbar di Borneo Post pada 29 Oktober 2019 menggesa kerajaan PH meletakkan “rakyat mengatasi politik”.


"Sementara itu, Yang Berhormat Wilfred turut menggesa PH ketika itu untuk melaksanakan projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Stutong Baru dan Batu 7," tegasnya.

Next Post Previous Post