Penunggang motosikal maut langgar tayar lori
Penunggang maut selepas terlanggar tayar lori di KM10, Jalan Taman Tunku, di sini petang semalam. |
MIRI—Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar tayar hadapan sebelah kiri lori di KM10, Jalan Taman Tunku, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.09 petang, mangsa seorang pemuda berusia 21 tahun cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakan wanita dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Tunku.
“Semasa tiba di satu simpang, lori tersebut kemudian membelok ke simpang sebelah kiri. Mangsa yang datang dari arah belakang telah melanggar tayar hadapan sebelah kiri lori tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.