Pendapatan negara daripada hasil petroleum dijangka RM73.7 bilion pada 2022, MIDF

Kredit Petronas

KUALA LUMPUR—MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangka kerajaan merekod hasil berkaitan petroleum lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak RM73.7 bilion pada 2022 di tengah-tengah aliran meningkat harga tenaga global ketika ini.


Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini berkata Bajet 2022 dibentangkan dengan andaian harga purata minyak mentah Brent pada US$66 setong tahun ini. 


“Bagaimanapun, kos subsidi bahan api dijangka meningkat apabila kerajaan mengekalkan harga bahan api runcit iaitu RON95 dan diesel masing-masing berada pada RM2.05  dan RM2.15 seliter pada masa ini. Kami mengunjurkan harga sebenar bagi RON95 melebihi RM4 apabila harga minyak Brent melonjak kepada US$100 setong,” katanya.


Bagi 2023, MIDF Amanah Investment Bank mengunjurkan harga minyak mentah Brent berada pada US$120.30 setong, justeru di bawah senario ini ia mengandaikan kerajaan mungkin menghentikan mekanisme subsidi bahan api secara berperingkat.


“Pengurangan subsidi secara berperingkat akan membolehkan pengguna dan perniagaan menyesuaikan diri perlahan-lahan apabila harga bahan api runcit bagi RON95 dijangka dinaikkan sebanyak 15 sen setiap bulan, bermula Julai 2022 sehingga Disember 2023,” katanya.


Ia berkata penormalan harga RON95 dijangka mengambil masa 18 bulan untuk selesai.


Pada masa hadapan, MIDF Amanah Investment Bank berkata trajektori pertumbuhan harga makanan dan bahan api akan menjadi penentu utama bagi keseluruhan tekanan inflasi Malaysia, terutamanya dalam keadaan peningkatan harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan global ketika ini.  


-- BERNAMA

Next Post Previous Post