Pembaikan paip bocor di Miri ambil masa jika hujan lebat

Kerja-kerja pembaikan kebocoran paip berukuran 1,100 milimeter yang pecah di dasar kawasan Batu 7 Jalan Miri-Bintulu. Gambar kredit LAKU

MIRI— Hujan lebat yang melanda Miri sejak petang tadi menyukarkan pihak kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan kebocoran paip berukuran 1,100 milimeter yang pecah di dasar kawasan Batu 7 Jalan Miri-Bintulu.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Laku Management Sdn Bhd, Daniel Punang berkata, pihaknya sedang bertungkus-lumus menyiapkan pembaikan itu yang dijadualkan siap pada jam 5 petang Jumaat.


“Kami berharap dapat menyiapkan kerja-kerja pembaikan ini mengikut jadual. Namun ia bergantung dengan keadaan cuaca.


Kita berharap tidak hujan sewaktu kerja-kerja baik pulih dilakukan," katanya semasa sidang media di sini petang tadi.


Turut hadir semasa sidang media tersebut adalah pengerusi LAKU, Datuk Nelson Balang Rining.


Daniel menambah,  punca paip pecah disebabkan pergerakan dalam tanah di kawasan tersebut sekitar jam 2.30 pagi tadi.


Katanya, susulan itu sekitar 65,000 isi rumah di Miri terputus bekalan air.


Dalam pada itu, Daneil berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan trak tangki air ke kawasan yang terkesan susulan kejadian tersebut.


"Setakat ini kita menyediakan sekitar enam ke tujuh buah trak tangki air ke kawasan yang terkesan dengan gangguan bekalan air di Miri dibantu beberapa agensi lain," ujarnya.

Next Post Previous Post