PBB tidak pernah sisih belia, kata Razi

Mohammad Razi Sitam

KUCHING—Penubuhan Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menjadi penanda aras pembabitan golongan terbabit dalam arena politik tempatan.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) PBB, Mohammad Razi Sitam berkata, penubuhan sayap belia tersebut bertujuan memperkasakan kemampuan belia Bumiputera di negeri ini.


"PBB mempunyai usaha menjadikan parti ini parti terkuat di Sarawak bukan sahaja dalam kalangan generasi senior (veteran parti) namun, kita turut membawa generasi muda bersama-sama dengan PBB melalui Program 1828.


"Lebih-lebih lagi kerajaan Persekutuan telah memutuskan pengundi baharu berumur 18 tahun sudah dibenarkan mengundi.


"Bermakna Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, pengundi 18 tahun ke atas akan pertama kali turun pada pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik media Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata, penubuhan sayap belia adalah langkah baik dan berharap semua generasi muda akan melibatkan diri dalam politik menerusi parti itu.


"Parti PBB adalah parti yang berfungsi kepada sayap bumiputera dan sayap pesaka selain komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS). 


"Kita tidak mahu orang muda menganggap mereka disisihkan daripada parti terbesar di Sarawak. Justeru, saya mengajak semua generasi muda menyertai parti ini," katanya.


Menurut Razi yang berjaya memperoleh undi sebanyak 860 pada pemilihan ahli MT PBB, kemenangan beliau tersebut merupakan penghargaan sebagai ahli politik generasi baharu dalam PBB.


Katanya, kemenangan itu juga akan menjadi tunjang untuk beliau terus berkhidmat dan berbakti kepada parti dalam membangunkan Sarawak.


"PBB adalah satu-satunya parti yang tiada kaitan dengan komponen parti lain dalam Malaysia. Kita berdiri di atas kaki sendiri sebagai sebuah perti yang membentuk kerajaan khususnya di Sarawak," katanya.

Next Post Previous Post