PBB bukan lagi parti kampung, Abang Johari

Abang Johari  berucap merasmikan Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di sini hari ini.

KUCHING—Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berjaya mengatur langkahnya dalam membawa Sarawak ke era pembangunan yang seiring dengan perkembangan semasa dunia.


Presidennya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata parti itu kini tidak lagi terhad kemampuannya dalam memperjuangkan isu tempatan negeri tetapi sedang memacu potensi baharu yang boleh meningkatkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.


Sekitar Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di sini hari ini.


“PBB bukan lagi parti kampung. PBB hari ini melangkah satu langkah ke hadapan seiring dengan apa yang berlaku di dunia… dunia telah mengiktiraf potensi Sarawak di Malaysia,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di sini hari ini.


Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata PBB telah melalui beberapa cabaran getir sewaktu beliau mengambil alih tampuk kepimpinan namun dengan niat ikhlas untuk memastikan negeri ini terus maju, cabaran berkenaan telah berjaya diatasi.


Ini termasuk menghadapi ketidaktentuan politik nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dengan PBB bersama-sama pimpinan tiga parti tempatan lain di Sarawak mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).


Sekitar Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di sini hari ini.


Abang Johari berkata tindakan yang dibuat PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membolehkan mereka membuat keputusan tanpa terikat dengan konsensus yang perlu diikuti sewaktu masih dalam BN.


Menurutnya ini turut membawa PBB memperjuangkan agenda ‘Sarawak Diutamakan’ dengan lebih berkesan khususnya dalam mendapatkan kembali hak-hak negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963.



Katanya beberapa kejayaan dalam mendapatkan kembali hak-hak tersebut telah ditempa dalam tempoh lima tahun lepas yang membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatannya seterusnya digunakan untuk membantu seluruh rakyat negeri ini.


Beliau berkata pendapatan yang meningkat juga membolehkan kerajaan GPS membuat perancangan pembangunan jangka panjang termasuk cadangan menubuhkan dana berdaulat untuk manfaat rakyat Sarawak.


“Daripada sumber yang kita ada, kita tambah nilai kepada sumber kita (untuk meningkatkan pendapatan) dan seterusnya kita bangunkan seluruh Sarawak. Niat mesti betul. Tuhan akan menolong orang yang mempunyai niat yang betul. Tapi kalau niat tak betul, Tuhan pun memerhati kita juga,” katanya.


--BERNAMA

Next Post Previous Post