Op Tapis Khas: Remaja antara 391 individu ditangkap kerana dadah


KUCHING-- Remaja antara 391 individu ditangkap atas kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Khas sepanjang tempoh 21 hingga 23 Jun di seluruh Sarawak.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua individu yang ditangkap berusia antara 16 hingga 64 tahun, terdiri daripada 369 lelaki dan 22 wanita.


"Operas ini menyasarkan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), ladang, jeti nelayan, jeti haram dan pot-pot aktif yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Nakortik (JSJN) Sarawak serta Agensi Antidadah Kebangsaan di seluruh negeri ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari in. 


Tambahnya lagi, selain tangkapan polis turut merampas dadah pelbagai jenis yang bernilai RM122,310 dan rampasan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 2,674 penagih.


Jelas Mohd Azman, daripada jumlah dadah yang dirampas itu, syabu 337.21 gram, ganja (13.00 gram), ketamin (3.90 gram), jus ketamin/Methamphetamin/MDMA 1,611.03 gram, pil Ekstasi (500 biji) manakala pil Erimin 5 (315 gram).


Beliau memberitahu, Sibu merekodkn rampasan dadah tertinggi iaitu RM91,048, diikuti Kuching berjumlah RM8,490 dan RM5,955 di Kapit.


Selain itu, katanya, polis turut menyita harta bernilai RM23,000 iaitu sebuah kereta di Kapit, dan sebuah motosikal masing-masing di Kuching dan Bau.


Tegasnya lagi, sebanyak 325 kertas siasatan dibuka di mana 116 individu telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan.


Menurut beliau, tujuh tokan dadah yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 41 tahun disiasat di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.


Manakala tujuh lagi individu katanya, dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan tidak lebih tiga sebatan jika sabit kesalahan.


Bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Jun tahun ini, JSJN Sarawak berjaya menangkap 4,410 individu dan merampas dadah pelbagai jenis berjumlah RM8,755,508 serta menyita harta bernilai RM1,576,863.


"Polis khasnya JSJN akan terus mempergiatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah sekali gus melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan jenayah ini dibanteras habis-habisan," ujarnya.


Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, Ketua JSJN Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani dan pegawai kanan yang lain. 

Next Post Previous Post