Nanta dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PBB, anggap satu tugas besar

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi


KUCHING—Datuk Sri Alexander Nanta Linggi mengganggap lantikan semulanya sebagai Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selama tiga tahun (2022-2025) satu tugas yang besar. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, ini seiring kedudukan PBB sebagai parti terbesar dan dominan di Sarawak kerana mewakili 47 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 


"Ada tugas besar sebenarnya menanti saya. 

"PBB harus merintis kerjasama dan terus menjalin kemesraan dengan rakan parti komponen, PRS, PDP dan SUPP bagi membantu YAB (Yang Amat Berhormat) Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan pimpinan PBB untuk menjadi sebuah parti yang menerajui kerajaan negeri.

"Lantikan semula ini saya anggap sebagai keyakinan, amanah dan pengiktirafan untuk menggalas tanggungjawab ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nanta memberitahu pertama kali beliau diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan itu adalah pada 2018. 

Tambahnya, kini selepas prestasi dibuktikan, Yang Dipertua PBB merangkap Premier Sarawak, memberikan amanat untuk terus memikul tugas Setiausaha Agung. 

Tegasnya, ini akan dijadikan motivasi dalam merintis kegemilangan PBB. 

"Seperti semua maklum, kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan peristiwa di luar jangkaan sebelum ini, justeru politik ini sangat dinamik," ujarnya. 

Namun yang penting, kata beliau, PBB ialah sebuah parti yang sangat stabil sekarang.

Jelasnya, keadaan ini dicerminkan dalam persidangan Mesyuarat Agung Tritahunan PBB Ke-15 apabila penyokong parti dan barisan pimpinan sangat bersatu padu.

"Hakikat yang menjadi teras kekuatan parti sejak ditubuhkan pada 1973 ini ternyata melancarkan dan memudahkan lagi kerja saya sebagai Setiausaha Agung," katanya. 
Next Post Previous Post