MPOB tawar penemuan penyelidikan, teknologi terkini industri sawit


KUALA LUMPUR-- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menawarkan penemuan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi terkini kepada usahawan tempatan dan pihak yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit pada Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2022.


Ketua Pengarah, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata dalam acara tahunan anjuran MPOB yang akan berlangsung pada 28 Jun itu, pihaknya juga akan memperkenalkan teknologi baharu dalam industri sawit yang dibangunkan oleh penyelidiknya.


“TOT 2022 akan membuka peluang perniagaan kepada usahawan industri kecil dan sederhana melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan MPOB,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Beliau berkata MPOB menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan penggiat industri dan usahawan tempatan.


TOT 2022 turut memberi peluang perniagaan kepada pekebun kecil, profesional dalam bidang kejuruteraan, saintis, penyelidik, ahli teknologi makanan, ahli kimia, pengilang dan pengeluar serta mereka yang terlibat dalam industri sawit, katanya.


Layari laman sesawang MPOB www.mpob.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pendaftaran TOT 2022.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post