MOSTI, Cradle lancar program MYStartup Accelerator kepada pemula teknologi

MYStartup Accelerator yang menawarkan pelbagai mentor bertaraf antarabangsa dan peluang pembiayaan kepada pemula teknologi.


KUALA LUMPUR—Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) melancarkan program MYStartup Accelerator yang menawarkan pelbagai mentor bertaraf antarabangsa dan peluang pembiayaan kepada pemula teknologi.

 

Dilaksanakan dari bulan Jun 2022 hingga Disember 2022, kohort start-up pertama dari program MYStartup Accelerator bakal mendapat manfaat dari mentor dan pakar bidang masing-masing seperti perkembangan perniagaan serta akses pasaran.

 

Pemula yang terlibat turut akan mendapat akses kepada faedah dan sumber lain yang bernilai sehingga RM2 juta, serta peluang untuk bekerjasama dengan lebih dari 80 organisasi korporat yang diperolehi daripada pengkalan data eksklusif program berkenaan.


Norman Matthieu Vanhaecke


Turut hadir di majlis pelancaran tersebut, Norman Matthieu Vanhaecke, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Cradle, menyatakan,

 

“Kami teruja melihat pemula teknologi Malaysia mendapat manfaat daripada program ini sekaligus bakal mengalami pertumbuhan pesat. Malaysia sedang pesat menjadi kuasa yang disegani dalam industri digital dan teknologi di Asia Tenggara, dan ini selaras dengan aspirasi MOSTI untuk negara diiktiraf sebagai hab pemula yang terkemuka.”

 

“Sepanjang program 6 bulan ini, pelbagai penawaran yang menarik menunggu para start-up yang terlibat. 33 start-up terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan telah dipilih daripada lebih 500 permohonan yang diterima kepada program tersebut. Calon-calon yang berjaya akan menerima bantuan dan bimbingan bertaraf dunia melalui bengkel oleh pakar berpengalaman yang menyediakan peluang kepada start-up untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan pesat pada peringkat serantau sambil membuka kepada peluang pembiayaan," tambah Norman.

 

Dilaksanakan oleh Cradle, program MYStartup Accelerator merupakan sebahagian daripada strategi MYStartup yang dimulakan oleh MOSTI bertujuan untuk mewujudkan pemula Malaysia yang berjaya di peringkat global.

 

Program ini menyediakan akses kepada 18 pelabur budiman – di mana mereka sendiri adalah pengasas pemula yang berjaya, dan akan membimbing peserta sepanjang perjalanan pengembangan pasaran dan peningkatan.

 

Antara beberapa mentor terkenal yang mengambil bahagian dalam program Accelarator MYStartup termasuk; Peter Wee – Penasihat kepada entiti makanan dan minuman serantau, dan ahli majlis Malaysian Business Angel Network, Eddy Wong – Eksekutif korporat, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif/MD VSure Life serta Alan Lim dari NEXEA.

 

Selain mendapat akses kepada peluang yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, faedah sebenar menanti peserta program MYStartup Accelerator selepas Demo Day.

 

Peluang mendapat pembiayaan daripada program geran CIP Sprint anjuran Cradle, yang menyediakan pembiayaan sehingga RM 600,000; atau pembiayaan tambahan daripada bakal rakan kongsi bernilai sehingga RM1,000,000 menanti para peserta.

 

Faedah lain termasuk peluang untuk turut serta di dalam program lawatan perniagaan dan 'networking' (immersion programme) tempatan dan luar negara, serta akses kepada pelbagai kemudahan dan sumber.

 

Disenaraikan sebagai salah satu daripada 16 intervensi yang dikenal pasti di bawah lima Pemacu Ekosistem di dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER) 2021-2030, Program MYStartup memainkan peranan penting dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi melalui sains, teknologi dan inovasi.SUPER diselaraskan dengan inisiatif lain seperti Dasar Kebangsaan Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan dasar Revolusi Industri Keempat Kebangsaan (4IR).

 

Manakala Program MYStartup bertujuan untuk menyatukan pelbagai pemain sekaligus merancakkan rangkaian start-up dalam menggalakkan kerjasama berimpak tinggi di peringkat ekosistem.

 

Dimulakan oleh MOSTI dan dikuasakan oleh Cradle, program ini akan menyaksikan para start-up yang mengambil bahagian mendapat manfaat daripada peluang pelaburan dan pelbagai program pembangunan.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Program MYStartup, para start-up dan pemain ekosistem digalakkan untuk melayari www.mystartup.gov.my.

Next Post Previous Post