Miro nekad galas tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB baharu

Gambar kredit Herry WM


KUCHING—Menggalas tugas sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukanlah sesuatu yang mudah.


Bagaimanapun, Ketua Pergerakan baharu, Miro Simuh berazam akan menggalas tugasnya dengan baik setanding dengan barisan pemimpin terdahulu.



"Sebagai pemuda berbangsa Bidayuh pertama menjawat jawatan tersebut, ia bukan sesuatu yang dibanggakan kerana ia merupakan tanggungjawab berat.


"Namun saya amat berterima kasih kepada barisan pemimpin tertinggi PBB yang memilih saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB yang baharu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-15 2022 Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB di sini, hari ini.


Miro berkata dengan PBB menjadi tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS), paling penting ialah cara mengekalkan pencapaian cemerlang dan memastikan PBB kekal kuat dalam arena politik negara.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu yang kini berusia 50 tahun sebelum ini merupakan Timbalan Pergerakan Pemuda PBB telah dipilih sebulat suara mengetuainya.


Keputusan itu dicapai secara konsesus bagi menggantikan bekas Ketua Pemuda Pergerakan PBB, Datuk Gerald Rentap Jabu yang dilantik sebagai Naib Presiden PBB.


Ketika ditanya mengenai misinya sebagai Ketua Pemuda PBB baharu, Miro mengatakan dua misi utama akan menjadi tunjang dalam mengetuai Pergerakan Pemuda PBB.


"Antara visi saya sudah pasti untuk memperkuatkan lagi parti yang sudah kuat, memelihara keunikan, inklusiviti yang terdapat di Sarawak kerana kepelbagaian latar belakang ini menjadi kekuatan kita.


"Visi saya seterusnya adalah memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti. Ini merupakan satu visi penting untuk mengerakkan Pergerakan Pemuda PBB termasuk Pergerakan Pemuda GPS.


"Kita akan berjuang untuk memenangi semua 31 kerusi yang akan dipertandingkan dalam parlimen nanti," katanya.


Miro mula menyertai PBB ketika berusia 24 tahun dan dilantik sebagai Exco Pemuda PBB pada 2012, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pemuda pada 2018.

Next Post Previous Post