Miro Ketua Pemuda PBB, Fatimah kekal Ketua Wanita


KUCHING—Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh dipilih sebulat suara sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) baharu manakala Dato Sri Fatimah Abdullah kekal sebagai Ketua Wanita PBB.


Memetik laporan DayakDaily, perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Konvensyen PBB 2022 Dato Awang Bemee Awang Ali Basah pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini pada Sabtu.


Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) PBB dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 19 Jun ini di sini.


Jelas Awang Bemee, ini berdasarkan nama-nama yang diterima sepanjang tempoh pencalonan yang diserahkan oleh 82 cawangan parti di seluruh Sarawak yang mana kesemua jawatan tertinggi parti termasuk jawatan ketua pemudan dan wanita tidak akan dipertandingkan.


Dengan itu, Miro yang juga Timbalan Ketua Pemuda dijangka akan mengisi jawatan tersebut daripada Dato Gerald Rentap Jabu.


Gerald Rentap yang merupakan ADUN Layar pula bersama-sama Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapaee, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Dato Gerawat Gala termasuk Fatimah dan Miro telah dicalonkan sebagai Naib Presiden.


"Kesemua mereka menang tanpa bertanding kerana kesemua cawangan menamakan mereka tanpa ada nama calon lain.


"Memandangkan mereka (Miro dan Fatimah) menjadi ketua Pemuda dan Wanita, (oleh itu), mereka juga akan menerajui jawatan naib presiden," kata Awang Bemee.


Tambahnya, keputusan penamaan calon menunjukkan mandat dan sokongan padu daripada akar umbi terhadap kepimpinan parti.


Sementara itu, TGM empat hari itu dijangka akan dihadiri 2,420 ahli PBB yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang dirasmikan oleh Premier Sarawak selaku Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Jun.


Bagi mesyuarat sayap pemuda dan wanita pula dijangka berlangsung 17 Jun sementara jawatankuasa utama pada 19 dan 19 Jun. 


Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang dan ADUN Satok Dato Ibrahim Baki.

Next Post Previous Post