Melaka kalah kepada Sarawak di laman sendiri
Pembantu Jurulatih Nazrulerwan Makmor mengakui beberapa kesilapan kecil dilakukan anak buahnya telah mengundang padah buat pasukan dan ia perlu diperbaiki dalam perlawanan seterusnya.
“Pemain bermain dengan baik, namun di separuh masa kedua Sarawak sudah mengetahui taktikal pasukan kita dan menunggu untuk serangan balas dan mereka berjaya melakukannya.
“Kita cuba untuk menyerang namun berjaya dipatahkan pemain lawan dan dapat dilihat mereka juga menggunakan kelebihan ketinggian pemainnya untuk menjaringkan gol dan kita kalah daripada segi itu serta set piece,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, Melaka mendahului dengan jaringan pada minit ke-17 menerusi penyerang import Sony Norde sebelum Sarawak menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian menerusi Gonzalo Soto.
Melaka United kemudian berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Syazwan Andik pada minit ke-34 untuk mendahului separuh masa pertama.
Tidak berputus asa, pasukan pelawat berhasil menyamakan kedudukan menerusi penyerang importnya Francis Kone pada minit ke-61 dan beliau sekali lagi menambah derita tuan rumah menerusi satu lagi gol pada minit ke-92 dan kedudukan 2-3 kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, pengendali Sarawak S. Balachandran berkata kemenangan tersebut memberi tanda positif kepada pasukannya selepas beliau mengambil alih skuad Bujang Senang.
“Pemain cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan selain berjaya menyerap tekanan kerana kita tahu bermain di tempat lawan agak sukar, namun mereka bekerja keras dan berjaya mengutip tiga mata kerana kita tidak mahu berada di tangga terbawah liga,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Sarawak yang mengumpul 10 mata kini berada di tangga ketujuh Liga Super manakala Melaka berada di kedudukan ke-10 selepas kekal dengan lapan mata.
-- BERNAMA