Media sosial tumbangkan BN, Uggah



KUCHING--Media merupakan saluran yang amat berkuasa dan memainkan peranan yang amat penting dalam arena politik dunia siber zaman sekarang.

Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak(PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peranan penting media sosial terbukti pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang lepas.

"Kita lihat bagaimana Kerajaan Persekutuan BN boleh tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai pasukan media yang kuat dalam PRU14 2018 yang lalu," katanya.   

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo, di sini hari ini.

Katanya, ahli-ahli PBB perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan semasa, menyediakan pasukan media yang kuat dan sepadu, menggunakan teknologi mudah alih yang tersedia untuk mempertahankan kebenaran.

"Tunjukkan pencapaian PBB dalam tempoh 49 tahun yang lalu.Menyerang balas berita palsu dan pembohongan yang telah disebarkan oleh parti-parti pembangkang         

"Mereka menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu, semuanya untuk mengeliru rakyat," ujarnya.

Beliau berkata, inovasi dan teknologi media sosial boleh digunakan untuk membenteras, membetulkan dan meranap berita palsu.   

 
"Dengan persiapan ini, kita akan dapat mempertahankan diri kita, parti PBB kita, kerajaan GPS kita dan berjaya memenangi pertempuran idea dan pengaruh politik di lapangan dan di dalam dunia siber," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, setakat 31 Disember 2021, Sarawak merekodkan sejumlah 1,927,750 pemilih berdaftar iaitu  kenaikan sebanyak 675,077 pemilih baru.


"Bagi pengundi baru, kita lihat 20 peratus pemilih berdaftar berusia 19-20 tahun, manakala 45 peratus adalah di antara 21-29 tahun dan 19.23 peratus berusia 30-39 tahun.

"Ini bermakna 66 peratus pemilih berdaftar baru adalah berusia 18-29 tahun manakala belia (18-39 tahun) merupakan 75.23 peratus pemilih berdaftar," katanya.

Menurutnya lagi, perubahan itu diganding dengan kemajuan ICT,  mobiliti dan pendidikan yang lebih baik secara langsung menyebabkan lebih banyak pengundi muda yang cerdik pandai dan pintar.
Next Post Previous Post