Mayat tanpa identiti ditemukan terapung di Sungai Rajang


SARIKEI-- Satu mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di Batang Sungai Rajang, Terminal 2 dekat sini petang Rabu. 


Jurucakap Bomba Sarikei berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 2.47 petang sebelum mengerakkan pasukan ke lokasi kejadian. 


Jelasnya, bomba sampai di lokasi sekitar jam 2.52 petang dan memulakan operasi mengangkat mayat berkenaan. 


"Laporan dari LSS memaklumkan kepada pihak bomba tentang penemuan mayat terapung di sungai oleh orang awam. 


"Setelah dapat maklumat dari LSS, pihak bomba terus ke tempat penemuan mayat tersebut menggunakan bot orang awam yang menjumpai mayat tersebut," katanya dalam kenyataan. 


Tambahnya, sampai di lokasi mendapati laporan tentang penemuan mayat adalah benar iaitu mayat seorang lelaki. 


Berikutan itu, pihak bomba terus menghubungi bilik kawalan untuk memaklumkan kepada pihak polis tentang penemuan mayat tersebut. 


"Setelah selesai pengecaman oleh pihak polis, mayat tersebut terus diserahkan kepada pihak polis dan anggota bertolak balik ke balai," ujarnya. 


Operasi tamat sekitar jam 3.49 petang. 

Next Post Previous Post