Mayat mangsa bot karam di Sungai Batang Igan ditemukan
Mayat pertama mangsa karam ditemukan petang tadi. Gambar kredit Bomba |
SIBU—Mayat seorang lelaki dipercayai antara mangsa yang hilang dalam tragedi kapal karam di Sungai Batang Igan berdekatan Kampung Bungan Kecil di sini semalam, ditemukan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, Ting Ling, 23, ditemukan pasukan bomba dalam keadaan terapung pada jarak lima meter dari Pos Kawalan Bomba di Jeti Bungan Kecil pada jam 2.26 petang.
"Sementara operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa iaitu lelaki warganegara Indonesia masih diteruskan setakat jam 4.21 petang tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, operasi SAR kedua hari ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan melibatkan 26 anggota pelbagai agensi.
Sebelum ini, dalam kejadian kapal karam sekitar jam 6 pagi semalam, dua pekerja kapal dilaporkan hilang sementara tiga lagi berjaya menyelamatkan diri.