Manyin letak jawatan Naib Presiden Kanan PBB

Manyin semasa sidang media di Ibu Pejabat PBB, dekat sini, hari ini.


KUCHING—Datuk Amar Michael Manyin Jawong  mengumumkan meletak jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkuat kuasa hari ini.


Katanya, beliau telah memaklumkan kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap timbalan presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hasratnya untuk melepaskan jawatan itu.


Justeru dengan pengunguman berkenaan, beliau tidak akan mengekalkan jawatan tersebut semasa Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) Ke-15 pada 17 hingga 19 Jun nanti.


“Saya menyerahkan kepada parti siapa yang mereka akan pilih untuk menyandang jawatan itu kerana ini adalah tradisi,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PBB, dekat sini, hari ini.


Sementara itu, Naib Presiden PBB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dijangka akan dinaikkan ke jawatan naib presiden kanan.


Keputusan tersebut dicapai menerusi pencalonan yang diterima daripada semua 82 cawangan PBB yang didedahkan oleh pegawai Pilihan Raya PBB, Awang Bemee Awang Ali Basah pada sidang media berasingan di ibu pejabat PBB di sini hari ini.


Naib Presiden Kanan yang lain ialah Datuk Seri Fadillah Yusof yang telah diumum akan mengekalkan jawatan itu.


Manyin pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan Tebedu pada 1996 dan memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet Sarawak sebelum menyatakan hasratnya untuk bersara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021.


Selama 25 tahun, beliau telah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan, Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan, dan lain-lain.


Dalam pada itu, Manyin berkata, meskipun sudah bersara dalam arena politik, beliau masih teguh menyokong PBB.


"Seperti pilihan raya lalu, saya berkempen setiap malam dan akan terus memberi sokongan kepada PBB sekiranya masih cergas pada PRN akan datang,” katanya.


Bersara politik aktif, tetap setia bersama PBB, Manyin


Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Michael Manyin Jawong menyatakan pendirian akan terus memberi khidmat kepada parti itu sebagai ahli biasa selepas mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada mempertahankan jawatan itu.


BERNAMA melaporkan, walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam PBB menjelang pemilihan penggal baharu 2022-2025 sempena perhimpunan agung parti bermula 17 Jun ini, Manyin, 77, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu selama lima penggal sejak 1996, berkata beliau tetap setia bersama parti itu yang disertainya pada 1995.


“Politik masih di hati saya. Saya telah bersara daripada politik aktif tetapi saya masih bersama PBB dan menyokong parti selagi saya mampu. Pada pilihan raya negeri yang lalu, saya berkempen setiap malam. Pada pilihan raya negeri akan datang, insya-Allah jika saya masih sihat saya akan berkempen,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB di sini hari ini.


Terdahulu, pegawai pemilihan PBB, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengumumkan Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom mengisi jawatan Manyin bagi sayap Pesaka manakala Datuk Seri Fadillah Yusof mengekalkan jawatan sama bagi sayap Bumiputera.


Manyin, bekas Menteri Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknoloji negeri, mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Disember lalu.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post