Lemas mandi di tasik, hanya selipar mangsa ditemukan
Hanya selipar mangsa,Terry Leon Zi Jun,13, dijumpai di tepi tasik berkenaan. |
SARIKEI--Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak mandi dan berenang di tasik Jalan Kun San berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan(SJK) Tiong Ho semalam, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.
Mayat mangsa,Terry Leon Zi Jun,13, ditemukan terapung di kawasan jentera pengorek tanah di tasik berkenaan oleh ahli keluarga mangsa sendiri.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PBK II Bakar Ujang berkata, terdahulu mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.35 malam memaklumkan insiden tersebut.
"Sebanyak empat anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Dimaklumkan, hanya selipar mangsa dijumpai di tepi tasik tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara 'surface searching' telah dijalankan sehingga jam 10.30 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, memandangkan tiada tanda-tanda penemuan dan cuaca kian gelap, pasukan SAR bersetuju menangguhkan pencarian keesokan hari.
Katanya, pada jam 12.30 malam kawalan BBP Sarikei telah menerima panggilan dari Balai Polis Sarikei memaklumkan mangsa telah ditemukan oleh ahli keluarga.
"Sehubungan itu, sepasukan anggota telah digerakkan ke balai polis Sarikei bagi pengesahan lanjut bagi laporan mengenai penemuan mangsa berkenaan.
"Pihak polis telah mengesahkan penemuan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan penemuan mayat mangsa operasi SAR ditamatkan pada jam 1 pagi.