Lelaki dari Pasir Pandak datang Bau ditangkap disyaki jual judi dalam talian

Suspek dicekup di sebuah kedai makan kerana disyaki jual judi dalam talian. Gambar kredit Polis

BAU—Sanggup datang dari Pasir Pandak ke Bau semata-mata mahu jual judi dalam talian, seorang lelaki dicekup polis di sebuah kedai makan di Jalan Jambusan, di sini petang tadi. 


Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditangkap sekitar jam 5.50 petang semasa Op Dadu di kawasan tersebut. 


"Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menjalankan Op Dadu telah menahan seorang lelaki di sebuah kedai makan, Jalan Jambusan, Bau," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya, suspek ditangkap di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian (JOL).


Tambah Poge, polis turut merampas seunit telefon pintar jenama Redmi 9 berwarna biru gelap dan sekeping sim kad. 


Katanya lagi, suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. 


Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Next Post Previous Post