Layanan dingin, sukarkan pengamal media buat liputan di Perhimpunan Agung PBB


KUCHING— Lebih 40 agensi media cetak dan elektronik tidak dibenarkan masuk membuat liputan pada Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) hari ini.


Sumber memberitahu Borneo Network, kehadiran mereka untuk membuat liputan seolah-olah tidak wujud di mata pengerusi penganjur.



“Kehadiran kami tidak diendahkan, malah kerusi untuk duduk pun tidak disediakan menyebabkan kami terpaksa berdiri dan ada yang duduk di lantai hujung dewan sepanjang liputan.


Lebih mengecewakan, pas masuk media tidak diberikan kerana pihak yang sepatutnya memegang amanah itu tidak hadir,” katanya dengan nada kesal.



Ujarnya, pihak penganjur mewajibkan media memakai pas masuk tersebut sepanjang membuat liputan.


“Namun sikap pihak penganjur yang tidak bekerjasama menyukarkan petugas-petugas media, sedangkan kami datang bukan untuk suka-suka tetapi menyampaikan berita yang sahihj kepada pembaca.



Borneo Network turut difahamkan, mereka juga tidak dibenarkan menggunakan bilik yang sudah dikhaskan untuk media.


“Mereka sanggup mengarahkan petugas media yang sedang sibuk membuat laporan berpindah ke bilik lain yang tidak mempunyai kemudahan meja dan kerusi.


“Tindakan ini secara tidak langsung mengganggu pihak media melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.



Seramai 2,420 perwakilan daripada 82 cawangan hadir pada perhimpunan selama tiga hari bermula semalam.


Perhimpunan yang bertemakan "Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak" itu dirasmikan oleh Presiden PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Hadir sama, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah serta Ahli Majlis Tertinggi PBB.


Turut hadir, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Next Post Previous Post