Lampu trafik berhadapan Bintang Megamall mengelirukan punca kemalangan?
Kemalangan di lampu isyarat di hadapan Bintang Megamall pada 4 Jun, manakala gambar sisipan Lee ketika mengulas kejadian itu hari ini. |
MIRI -- Polis trafik Miri membuka satu kertas siasatan susulan kemalangan berhadapan pusat beli-belah Bintang Megamall yang dikatakan berpunca daripada lampu isyarat.
Baru-baru ini, warganet di platform media sosial menyalahkan lampu isyarat terbabit kerana sistem isyaratnya yang agak mengelirukan pengguna.
Lee mengedarkan bungkusan buah tangan kepada salah seorang pengguna jalan raya ketika kempen tersebut. |
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pihak polis trafik Miri akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV ) dari pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
"Saya dimaklumkan mengenai kemalangan dan aduan orang awam mengenai lampu isyarat tersebut.
Pihak polis trafik Miri dan MBM akan menyiasat perkara ini dengan lanjut," katanya ketika ditemui pada kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran bersama syarikat Endaya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan Miri di sini, hari ini.
Dalam kejadian tersebut (4 Jun) seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun dilaporkan cedera setelah kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan tersebut.
Mengenai kempen hari ini, Lee berkata kesedaran keselamatan jalan raya amat penting bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan.
"Keselamatan jalan raya seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya kita, justeru itu, kita mesti menerapkan pentingnya keselamatan semasa menggunakan jalan raya di kalangan masyarakat.
Lee turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya, terutamanya pada musim perayaan.
"Keselamatan hendaklah sentiasa menjadi perkara utama, terutamanya ketika hendak balik merayakan sesuatu perayaan, kerana kita mahu mereka yang pulang ke kampung atau rumah panjang masing-masing dengan selamat supaya mereka dapat menyambut perayaan bersama keluarga dan orang tersayang," katanya.
Tambahnya, kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku berpunca daripada kecuaian manusia.
"Misalnya, kegagalan mematuhi keselamatan jalan raya atau peraturan lalu lintas adalah antara penyumbang utama kemalangan jalan raya," katanya.
Lee memuji usaha Endaya dan JKR mengadakan kempen kesedaran keselamatan di jalan raya dan berharap lebih ramai lagi badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta lain mengikuti langkah Endaya dan JKR ini pada masa akan datang.
Turut hadir Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang merangkap ADUN Pujut, Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, timbalan ketua polis Miri Supt Mohd Sabri Zainol, ketua JPJ Moro cawangan Maya Morshidi dan ketua eksekutif Endaya Peter Wong.