KPLB bantu promosi inap desa seluruh negara
Gambar hiasan |
BALIK PULAU—Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membantu mempromosikan rumah inap desa di seluruh negara dalam usaha menarik semula pelancong dalam dan luar negara untuk bercuti di sini bagi merancakkan lagi ekonomi.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah berkata usaha promosi itu juga antara lain bagi membantu dan memulihkan semula inap desa yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas.
"Sepanjang lebih dua tahun memberi impak ekonomi yang teruk kepada pengusaha-pengusaha inap desa, malah ada antara mereka yang terpaksa menutup operasi akibat ketiadaan pelancong, kita yakin pelancong akan kembali menginap dan memeriahkan semula aktiviti pelancongan berkonsepkan inap desa ini selepas kita berada pada pascapandemik COVID-19.
''Selain daripada menggunakan media sosial, KPLB turut mempromosi pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), ekspo-ekspo keusahawanan, pameran-pameran agensi, karnival usahawan desa (KUD) dan lain-lain,'' katanya kepada pemberita selepa merasmikan program Visit My Kampung@Homestay Pulau Betong, di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh, di sini hari ini.
Hasbi berkata berdasarkan promosi yang dijalankan, pihaknya yakin pelancong asing berminat untuk datang semula kerana mereka pernah menginap di inap-inap desa di kawasan kampung.
Katanya selain bantuan promosi daripada KPLB, para pengusaha inap desa juga disarankan untuk meningkatkan serta memperkemas infrastruktur di inap desa masing-masing untuk menyambut kedatangan pelancong.
"Selain itu, setiap kawasan inap desa juga mempunyai tarikan yang tersendiri seperti di Balik Pulau yang tarikannya adalah durian dan pengusaha inap desa tahu apa yang pelancong mahukan jadi mereka perlu tingkatkan infrastruktur sedia ada untuk kemudahan pelancong yang menginap," katanya.
Beliau berkata walaupun aktiviti ekonomi yang dilaksanakan adalah perniagaan inap desa, tidak semestinya pengusaha tidak boleh bersaing dengan perkhidmatan penginapan yang lain seperti hotel, Airbnb dan sebagainya.
''Kita mempunyai ciri perniagaan yang unik dan eksentrik, untuk menjadikan perniagaan berimpak tinggi kita seharusnya bergerak sejajar dengan perkembangan teknologi serta perlu evolusi ke arah perkembangan tersebut," katanya.
Sementara itu, Hasbi berkata KPLB menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukkan geran sebanyak RM4.45 juta untuk Program Pelancongan Inap Desa di Pulau Pinang sejak 2014 dan ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga pengusaha inap desa pelancongan di negeri itu.
Katanya menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 173 inap desa dan peserta melibatkan 10 kampung mendapat manfaat menerusi program promosi, latihan dan bimbingan selain program pengurusan yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk masyarakat luar bandar.
“Program Inap Desa Pulau Pinang ini mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi pensijilan dan pengiktirafan yang dikeluarkan di bawah MOTAC untuk membolehkan inap desa ini diiktiraf serta dipromosikan melalui pelbagai medium seperti Expo MATTA Fair dan Karnival Keusahawanan di bawah KPLB," katanya.
Menurutnya berdasarkan data, jumlah keseluruhan pendapatan peserta inap desa di seluruh Pulau Pinang adalah RM3.24 juta dengan 38,000 pelancong domestik dan antarabangsa menggunakan inap desa sejak program itu diperkenalkan pada 2014.
Beliau berkata program yang dilaksanakan oleh Perda itu juga mampu mempromosikan semula inap desa selain untuk memastikan pengusaha inap desa sudah bersedia untuk kembali beroperasi pada fasa endemik.
“Promosi untuk pelancongan inap desa di Pulau Pinang tiada noktahnya. Kita akan teruskan promosi ini menggunakan pelbagai medium bagi menggalakkan lebih ramai pelancong dalam dan luar negara menggunakan inap desa sebagai destinasi percutian," katanya.
-- BERNAMA