KPDNHEP Sri Aman tumpaskan aktiviti penyelewengan minyak petrol dan diesel bersubsidi
SARATOK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sri Aman berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak petrol dan diesel bersubsidi di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata, kejayaan itu hasil satu pemantauan aktiviti penyelewengan petrol dan diesel di sekitar Saratok melibatkan tiga stesen minyak.
"Kira-kira jam 6.40 pagi, di stesen minyak Saratok penguat kuasa KPDNHEP Sri Aman mengesan sebuah kenderaan jenis pikap dalam keadaan mencurigakan dengan muatan beberapa tong dram di bahagian belakang.
"Pasukan memerhati dari jarak 50 meter dan mendapati pemandu kenderaan tersebut dalam proses pam minyak petrol ke dalam tong dram di bahagian belakang pikap disahkan bukan tangki asal kenderaan.
"Pasukan operasi kemudian masuk ke stesen minyak dan telah menahan serta memeriksa kenderaan tersebut iaitu Jenis Proton Arena tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan, terdapat dua tong dram dengan kapasiti 200 liter dan lapan unit gelen dengan kapasiti 20 liter diletakkan dibahagian belakang pikap.
Tambahnya, pemeriksaan juga mendapati dua tong dram biru sudah penuh berisi petrol dan empat gelen penuh berisi diesel manakala empat gelen masih kosong/tiada isi.
"Tindakan terhadap stesen minyak juga diambil kerana berkait kes dan disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menjual bahanapi petrol/diesel kepada bukan tangki asal kenderaan dan pasukan ops telah menyita lesen asal petrol/diesel," tegas Al Redzamani.
Selain itu, katanya, sitaan telah dibuat terhadap pemilik kenderaan tersebut iaitu kenderaan model Proton Arena, tong berwarna biru berisi minyak petrol RON95 anggaran 400 liter (dua dram), empat gelen berisi minyak diesel anggaran 80 liter, resit pembelian petrol (1 keping) dan resit pembelian diesel (1 keping).
"Jumlah nilai rampasan dianggarkan RM11,031.13 dan kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961" ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KPDNHEP memberikan amaran keras ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong sekitar Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong termasuk Daerah Saratok ini agar mematuhi perundangan.
"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.
"Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen mana-mana stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan," jelasnya.