Konsulat Jeneral Indonesia timbang buka pejabat perhubungan di Labuan

Konsulat Jeneral Rafail Walangitan (kanan) melakukan kunjungan hormat ke atas pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud di sini hari ini. Gambar kredit FB Jainudin Djimin

LABUAN—Pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah pejabat perhubungan di sini bagi membantu proses dokumentasi perjalanan lebih 2,000 pekerja warga Indonesia.


Konsulat Jeneral Rafail Walangitan bagaimanapun berkata penubuhan pejabat bagi membantu proses dokumentasi perjalanan seperti pasport, permit untuk berada di negara ini atau permit kerja itu, bergantung kepada sejauh mana keperluan penubuhan segera benar-benar mendesak.


“Sekiranya pejabat perhubungan itu tidak dapat dibangunkan, kami boleh hantar satu pasukan ke pulau ini untuk membantu proses dokumentasi berkenaan bagi migran kami di sini,” katanya kepada Bernama selepas melakukan kunjungan hormat ke atas pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud di sini hari ini.


Menurutnya ketika ini pejabat Konsulat Jeneral Indonesia Kota Kinabalu akan membantu menyegerakan proses dokumentasi perjalanan bagi warga Indonesia di Labuan yang pergi ke Kota Kinabalu bagi urusan berkaitan pembaharuan pasport dan dokumentasi yang berkaitan.


“Proses (pembaharuan pasport) biasanya akan mengambil masa tiga hari, dan kami boleh pertimbangkan urusan imigresen di Labuan sebagai sebagai kes khas, dan memastikan tempoh proses dokumentasi yang lebih singkat,” katanya.


Rafail berada di sini bagi mengetuai delegasi pejabat konsulat jeneral Indonesia Kota Kinabalu untuk lawatan kerja dua hari, dan antara fasiliti yang dilawati di sini adalah Pusat Koreksional Labuan, pejabat Jabatan Tenaga Kerja serta pejabat Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Labuan. 


“Lawatan kami ke Labuan adalah bagi memupuk hubungan yang baik dengna ketua jabatan-jabatan kerajaan yang berpangkalan di Labuan serta pemimpin-pemimpin perniagaan di sini,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post