Kes kecurian di Sarikei: Polis nafi dakwaan tidak buat siasatan secara teliti

Mancha (kanan) menafikan dakwaan Andrew polis tidak buat siasatan secara teliti.

KUCHING—Dakwaan polis tidak menjalankan siasatan secara teliti sehingga tidak dapat menjumpai semua barang yang hilang adalah tidak berasas dan sengaja menjatuhkan imej serta kredibiliti polis.


Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata (gambar kanan) berkata, apa jua siasatan yang dijalankan, ia telah dilaksanakan secara adil, saksama dan penuh dedikasi.


"Ia bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan peranan dan tanggungjawab polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mancha berkata demikian bagi mengulas isu berhubung dakwaan Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu semalam yang tidak berpuas hati dengan cara siasatan pihak polis dalam menyelesaikan satu kes kecurian berlaku pada 24 April lalu.


Menurut Mancha, polis mengesahkan telah menerima satu laporan berkenaan kejadian pecah pejabat beralamat di kawasan Jalan Wharf, Sarikei pada 25 April dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Katanya, pada hari yang sama, pihak polis  berjaya menangkap seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas 104 bentuk loket azimat Buddha pelbagai jenis, seutas rantai bewarna silver dan empat keping kad azimat Buddha.


Tambah beliau lagi, setelah siasatan berjaya dilengkapkan, kertas siasatan kemudian dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak dengan cadangan pertuduhan terhadap suspek dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


"Selaras dengan peruntukan di bawah Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak telah memutuskan untuk merujuk saspek di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mempunyai barang curi.


"Pihak polis percaya bahawa keputusan menuduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan telah dibuat berdasarkan kepada keterangan dan pertimbangan yang sewajamya.  


"Adalah tidak adil bagi mana-mana pihak mempertikaikannya kerana segala keterangan telah pun dibuat di mahkamah," tegasnya.


Di samping itu kata Mancha, dalam kes ini, saspek telah mengaku salah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 bulan dari tarikh tangkapan dan kini menjalani hukuman di penjara Sibu.  


Jelasnya, keputusan pihak mahkamah dalam kes ini juga tidak wajar dipertikaikan kerana terdapat proses dan saluran tertentu boleh digunakan sekiranya tidak berpuashati dengan keputusan tersebut.

Next Post Previous Post