Keputusan pemilihan MKT, bukti PBB tidak sisih anak muda
Syed Hamzah Wan Hamid Edruce |
KUCHING—Keputusan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini adalah bukti bahawa anak muda tidak dipinggirkan.
Syed Hamzah Wan Hamid Edruce, 37, juga Timbalan Ketua Cawangan Pelawan memecah rekod ahli MKT termuda pertama dilantik sejak penubuhan PBB.
Katanya, pemilihan beliau akan memberi imej positif kepada PBB kerana menunjukkan perwakilan-perwakilan bersikap terbuka kepada calon baharu yang muda untuk memimpin.
“Persepsi anak muda sukar mendapat tempat dalam PBB kini terbukti tidak benar.
Kita berjaya membuktikan kali ini PBB ada anak muda yang berada di barisan ahli MKT,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengunguman ahli MKT PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
“Sudah pastinya para belia di luar sana memerhati perkembangan ini terutama ketika parti kita sedang dalam proses penubuhan sayap khas untuk belia tidak lama lagi.
Lebih manis lagi, pada hari pengumuman keputusan pertandingan MKT ini juga, pengumuman bahawa perlembagaan parti sudah dipinda untuk PBB membuka satu sayap baharu khas untuk belia 18-28 tahun,” katanya.
Mengenai kemenangan itu, beliau berkata ia adalah satu titik baharu perjalanan politik ke arah mencorak PBB menjadi parti yang inklusif.
“Dalam pertandingan MKT kali ini, saya merupakan calon termuda dan juga salah seorang calon bukan wakil rakyat yang menawarkan diri bertanding.
Bagi sesetengah pihak ia umpama ‘melawan arus’, namun saya percaya langkah ini adalah satu testimoni kepada tahap demokrasi dalam PBB,” katanya.
Tambahnya, menggalas jawatan sebagai ahli bukanlah perkara mudah sebaliknya memerlukan komitmen besar.