Kemenangan satu amanah bantu rakyat pedalaman, Abdullah Saidol

Datuk Abdullah Saidol

KUCHING— Datuk Abdullah Saidol menyifatkan kemenangan beliau sebagai ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mewakili suara warga pedalaman di Sarawak.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, kemenangan berkenaan dapat membantu beliau lebih lantang menyuarakan isu berkaitan kawasan pedalaman.


"Mana-mana pemimpin PBB yang mewakili masyarakat luar bandar haruslah lebih lantang dan berani, lebih bersungguh menyuarakan keadaan mereka (rakyat) di pedalaman.


"Ini kerana semua itu dilakukan dengan niat untuk merapatkan jurang keselesaan antara kawasan bandar dan desa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik media Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.


Menurut Abdullah, Kerajaan Sarawak komited membangun Sarawak terutama kawasan pedalaman dan luar bandar.


Malah menerusi kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi bajet negeri yang lepas, hampir 70 peratus belanjawan diperuntukan ke arah pembangunan di pedalaman.


"Ini adalah satu agenda pembangunan yang boleh diterima semua cuma tidak ramai yang memahami, dalam kita membangunkan negeri, kita juga harus mencari sumber kewangan.


"Disebabkan itu, kita bersyukur kerana pemimpin kita di atas arif dan bijak dalam mencari sumber kewangan untuk Sarawak.


"Jika kita terus bekerjasama dan memahami agenda ini, saya rasa kita boleh memajukan Sarawak ke arah negeri yang paling moden, progresif dalam kalangan 13 negeri di seluruh Malaysia," katanya.

Next Post Previous Post