Kegiatan curi elektrik lombong bitcoin terbongkar

Kebakaran berpunca daripada kegiatan mencuri elektrik untuk melombong bitcoin.

MIRI--Sebuah rumah kedai komersial di Desa Senadin di sini dilaporkan terbakar baru-baru ini dipercayai disebabkan kegiatan kecurian bekalan elektrik. 


Sarawak Energy memberitahu, pihaknya telah menerima panggilan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memutuskan bekalan elektrik tersebut supaya kebakaran dapat dipadamkan dengan selamat. 



"Selepas api dipadamkan, pasukan teknikal menjumpai sejumlah 48 mesin melombong mata wang kripto telah hangus dalam premis tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu, pasukan turut mendapati sistem pendawaian disambung terus ke kabel komputer pelayan membawa kepada sistem elektrik berlebihan sekali gus menyebabkan kebakaran. 


Kenyataan itu memberitahu, berdasarkan rekod Sarawak Energy, premis tersebut tidak seharusnya mempunyai bekalan elektrik kerana diputuskan pada pertengahan tahun 2020.



"Sejak itu, syarikat utiliti mengalami kerugian kira-kira RM14,500 sebulan," kata kenyataan itu.


Menurut Sarawak Energy, kebakaran itu merupakan kes kelima berlaku di Miri melibatkan pusat perlombongan mata wang kripto berkaitan aktiviti mencuri elektrik tahun ini. 


Kawasan-kawasan yang mencatatkan kes serupa termasuklah di Taman Tunku, Permyjaya dan Pusat Komersial Pelita. 


“Ini menunjukkan pelombong mata wang kripto mementingkan diri sendiri dan tamak serta tidak memikirkan risiko keselamatan atas tindakan mereka demi mendapat keuntungan yang cepat,” kata kenyataan media itu.


Dalam pada itu kata SEB, sindiket melombong mata wang Bitcoin dengan mencuri elektrik tanpa mematuhi standard boleh mengundang kepada kebakaran.


Ini kerana ia boleh menyebabkan kapasiti sistem elektrik terbeban, meningkatkan risiko litar pintas, kerosakan harta benda, kebakaran dan kehilangan nyawa. 


"Kegiatan melombong mata wang Bitcoin memakan banyak tenaga elektrik kerana ia berjalan tanpa henti dan memerlukan unit penyejukan untuk mengelakkan komputer pelayan dari terlalu panas. 


"Sementara kecurian elektrik merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.


"Justeru orang ramai dinasihati agar melaporkan aktiviti mencurigakan berkaitan kecurian elektrik dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111 atau emel kepada customercare@sarawakenergy.com," kata kenyataan itu.

Next Post Previous Post