Kanak-kanak 5 tahun rentung, ibu melecur dalam kebakaran

Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah panjang Rh Polly Sulau di Jalan Lidong, Betong pagi tadi. Gambar BBP Betong

BETONG—Seorang kanak-kanak lelaki maut setelah rumah panjang mereka, Rh Polly Sulau, Bukong Asal, Jalan Lidong musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.


Mangsa Rezdesson Carlos Robson, 5 tahun ditemui rentung oleh pasukan penyelamat setelah dipercayai terperangkap dalam bilik dapur rumah mereka semasa kebakaran berlaku.



Manakala ibunya Ency Shaylla, 25, melecur ketika cuba menyelamatkan adiknya perempuannya Elsa Amanda Robson, 2, yang turut melecur pada bahagian anggota badannya.


Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Betong PBK1 Henry Jugah memberitahu kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis tidak kekal satu tingkat telah terbakar sepenuhnya.


Menurutnya, beliau bersama 10 anggota yang turut serta dalam operasi pemadaman hadir kelokasi setelah dimaklumkan sekitar jam 9.22 pagi.


"Sebuah rumah panjang 11 pintu yang didiami 59 penghuni telah musnah dalam kebakaran yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang terperangkap dan ditemui rentung di bawah timbunan kerangka yang terbakar sekitar jam 12 tengahari setelah pemadaman dijalankan.


"Dua lagi mangsa yang cedera melecur sempat menyelamatkan diri daripada api yang marak dan meranapkan rumah mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kebakaran rumah panjang yang berlaku dekat sini.


Tambahnya, mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak Polis Engkilili manakala kedua-dua yang melecur telah dibawa ke hospital Betong untuk tindakan selanjutnya.


Punca dan tafsiran kerugian masih dalam siasatan.


Pasukan Bomba menggunakan kaedah RECEO dan melakukan pemadaman dengan mendapatkan air dari kolam yang berdekatan menggunakan pam angkut membuat pemadaman satu aliran di bahagian pertama, 300 kaki, dua nozel dan satu aliran bahagian kedua 200 kaki satu nozel menggunakan pam jentera serta membentang satu aliran 100 kaki sebelum berjaya memadam kebakaran tersebut.


Dalam masa yang sama kesukaran pihak bomba untuk sampai ditempat kejadian bagi membantu mangsa kerana diliputi dengan laluan berbukit dan jalan terlalu sempit menyukarkan untuk jentera masuk ke kawasan terbabit. Selain itu melewatkan bantuan tiba.


"Tiada liputan rangkaian komunikasi dan capaian internet menyebabkan kesukaran untuk berhubung keluar juga menyumbang kepada kelewatan bantuan diterima," ujarnya.


Agensi lain yang membantu Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Residen Bahagian Betong, Jabatan Kebajikan Malaysia(JKM) Betong dan Sarawak Energy Berhad.

Next Post Previous Post