JPA tubuh pasukan khas kaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu

Gambar hiasan kredit Damir Kopezhanov via unsplash

KUALA LUMPUR—Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan satu pasukan khas yang akan mengkaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari dalam seminggu, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.


Beliau berkata tindakan itu dibuat kerana terdapat tuntutan daripada beberapa pihak yang inginkan kerajaan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci.


“Jadi kita telah tubuhkan satu pasukan khas untuk melihat bagi pihak kerajaan berhubung sektor mana serta jumlah waktu minimum dan maksimum bekerja selaras dengan Akta Pekerja 1955 sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Modul Integriti Penguat Kuasa (MIP) di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata untuk melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu itu, banyak perkara perlu diperhalusi kerana bidang pekerjaan yang ada sekarang ini sudah pelbagai selain jumlah hari bekerja dan masa rehat yang perlu diteliti.


“Dahulu beberapa negara di Eropah juga pernah melaksanakan cuti empat hari seminggu ini tetapi mengikut bidang kerja yang tertentu sahaja,” katanya sambil menegaskan kajian itu tidak akan mengambil masa yang lama.


Isu terbabit mula menjadi perhatian masyarakat apabila pada awal bulan ini sebanyak 70 syarikat melibatkan 3,000 pekerja di United Kingdom melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu namun masih menerima gaji penuh untuk sebulan.


Berhubung MIP, Mohd Shafiq berkata ia adalah usaha untuk meningkatkan kefahaman, penghayatan dan pembudayaan pegawai penguat kuasa di negara ini mengenai integriti.


“Ia juga menjadi medium penyumbang dalam memantapkan penerapan dan pengamalan nilai-nilai murni integriti dan tadbir urus yang baik dalam jentera pentadbiran kerajaan,” katanya.


MIP yang dilancarkan hari ini merangkumi tiga sub modul iaitu Integriti Cerminan Diri dan Organisasi; Membetulkan Yang Biasa, Membiasakan Yang Betul; dan Menginstitusikan Integriti. 


Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post