JKR, MBKS digesa lebarkan Lorong 24 Skim Penempatan Semula Stutong

Chong Chieng Jen ketika melakukan lawatan ke projek pembinaan jambatan di Skim Penempatan Semula Stutong di sini. 

KUCHING—Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa supaya melebarkan Lorong 24 di kawasan perumahan Skim Penempatan Semula Stampin di sini.


Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata, ia susulan laluan lorong tersebut terutama di Lorong 24 hingga 28 terlalu sempit terutama ketika lori-lori besar melalui jalan tersebut pada masa yang sama.



"Sebelum JKR menetapkan lorong taman perumahan sebagai laluan alternatif dalam tempoh pembinaan kerajaan, JKR dan MBKS perlu memastikan lorong itu dilebarkan dengan betul.


"Ia bagi menampung peningkatan aliran trafik," katanya dalam kenyataan Facebooknya semalam selepas melakukan lawatan ke projek pembinaan jambatan di Skim Penempatan Semula Stutong di sini.


Beliau ditemani pembantunya, Michael Kong telah meninjau dan melihat secara dekat permasalahan yang dihadapi rakyat di kawasan tersebut semalam.


Mengulas lanjut kata Chong, ini kerana Lorong 28 Skim Penempatan Semula Stutong telah ditutup oleh JKR bagi menyiapkan projek jambatan menghubungkan Skim Penempatan Semula Stutong ke Sungai Tapang dan Samarahan.


"Dana untuk projek itu pada mulanya telah diluluskan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tetapi pelaksanaan projek telah ditangguhkan sehingga tahun lepas.


"Disebabkan penutupan lorong itu, JKR telah menetapkan Lorong 24 sebagai jalan masuk alternatif selama dua tahun, iaitu anggaran masa untuk menyiapkan projek jambatan berkenaan," katanya.


Bagaimanapun kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu, pihaknya menerima aduan daripada penduduk sekitar Lorong 24 hingga 28 Skim Penempatan Semula Stutong bahawa laluan di Lorong 24 itu terlalu sempit.


"Memandangkan ia kini merupakan jalan masuk utama yang telah ditetapkan, maka ia menjadi aliran laluan bagi lori-lori besar dan lori simen di sepanjang Lorong 24.


"Ini bukan sahaja menyusahkan penduduk berhampiran malah mendatangkan bahaya kepada mereka," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menggesa agar JKR dan MBKS mengambil tindakan segera dan bekerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut.


Sebagai dasar am katanya, JKR dan MBKS harus memastikan jalan masuk ganti bagi mana-mana projek pembinaan kerajaan mestilah cukup luas dan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan.


"Lebih-lebih lagi jika jalan masuk yang ditetapkan adalah di taman perumahan," tegasnya.

Next Post Previous Post