Jangan keterlaluan naikkan harga ayam, kata Nanta

Gambar arkib

KUCHING--Pemborong dan peruncit ayam diminta agar tidak menaikkan harga ayam secara drastik apabila Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam tamat pada 30 Jun ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak berkepentingan industri telah diberitahu supaya tidak menaikkan harga ayam terlalu mahal.


Katanya, sekiranya mereka didapati berbuat demikian, KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga kerana mengaut keuntungan.


“Pengeluar dan peniaga ayam telah memaklumkan kepada kami bahawa harga ayam akan meningkat (bulan depan). 


“Kami faham jika mereka menaikkan harga secara munasabah pada margin yang boleh diterima kerana mereka juga perlu menyerap kenaikan kos operasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.


Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menyeru pengguna supaya memahami keadaan ekonomi semasa dan keadaan industri ayam ketika ini.


Ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberikan subsidi untuk bekalan ayam tersebut, beliau berkata akan ada pendekatan disasarkan dengan membantu mereka yang sangat memerlukan.


“Pada masa ini, subsidi yang diberikan kepada industri ternakan ayam mempunyai liputan menyeluruh dan kami melihat ia tidak begitu berkesan.


“Ramai yang mengusahakan ternakan ayam secara kecil-kecilan terpaksa ditutup kerana tidak dapat menguruskan perniagaan mereka.


“Kami tidak mahu sampai ke tahap kita terpaksa mengimport ayam (dari luar negara),” katanya.

Next Post Previous Post