Hilang empat jam, warga emas ditemui selamat dalam keadaan lemah

Mangsa yang hilang lebih 4 jam ditemui selamat dalam keadaan lemah. Gambar Bomba Kanowit

KANOWIT—Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang lebih empat jam di kebun di Secungkil Sungai Lipus di sini, ditemui selamat hari ini.


Lelaki itu bagaimanapun ditemukan dalam keadaan lemah pada jam 2.52 petang serta mengalami luka-luka kecil di bahagian kaki kiri dan kanan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) PPgB Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.56 pagi sebelum menggerakkan pasukan BBP Kanowit ke lokasi.



"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki dikenali sebagai Jampi Leban digerakkan bersama pihak polis dan penduduk kampung pada jam 10 pagi.


Operasi SAR tertumpu di anak sungai Secungkil Lipus berhampiran dengan pondok rehat mangsa dalam radius kira-kira 300 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu kata Arrahman, pada jam 1 petang, operasi SAR diteruskan dengan memperluas kawasan pencarian di sepanjang anak sungai Ulu Lipus.


"Pada jam 2.52 petang, lelaki terbabit berjaya dijumpai dengan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat di Ulu Lipus kira-kira 1 kilometer lebih dari pondok kebunnya.


"Lelaki itu dijumpai dalam keadaan lemah serta mengalami luka-luka kecil dibahagian kaki kiri dan kanan.


"Dia kemudian diusung keluar menggunakan pengusung dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis pada jam 5.18 petang untuk tindakan lanjut," katanya.


Terdahulu, sekitar jam 6 pagi, Jampi telah memberitahu anaknya, Stela Jampi bahawa dia hendak keluar ke kebun namun belum balik ke rumah sehingga kehilangannya dilaporkan oleh anaknya.


Menurut laporan juga, usaha awal telah dilakukan oleh penduduk rumah panjang namun gagal menemui lelaki tersebut.

Next Post Previous Post