Gagal memotong, penunggang motosikal maut rempuh Camry


Mangsa maut di tempat kejadian setelah bertembung dengan sebuah kereta Toyota Camry simpang jalan Tanjung Assam Betong, dekat sini hari ini. Gambar kredit PKB Betong 


BETONG—Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Camry ketika cuba memintas ambulans hospital di KM1 Jalan Feeder Betong di hadapan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Betong berhampiran simpang Jalan Tanjung Assam Betong, dekat sini hari ini.

Mangsa, 42, dipercayai telah cuba memintas  ambulans hospital yang membelok masuk ke PKB Betong dan mangsa tidak menyedari dalam masa yang sama, ada kenderaan dari arah bertentangan di hadapan lalu hilang kawalan menyebabkan berlaku pertembungan.

Akibat rempuhan tersebut, motosikal mangsa diseret ke tepi laluan kanan jalan dan mangsa turut terpelanting di tengah jalan dan dipercayai maut di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Betong, ASP Noor Ilham Hadeni mengesahkan kemalangan berlaku sekitar jam 3 petang apabila sebuah kenderaan Toyota Camry dalam perjalanan dari arah bandar Betong merempuh motosikal dari arah bertentangan yang hilang kawalan memasuki laluan bersebelahan.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan yang teruk pada bahagian kepala. 

Manakala pemandu Camry, seorang wanita tiada mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan.

Mangsa telah dibawa ke hospital Betong untuk tujuan bedah siasat.

Cuaca pada masa kejadian dilaporkan mendung dan permukaan jalan basah selepas hujan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Next Post Previous Post