Dua lelaki, seorang wanita ditangkap disyaki terlibat curi kereta


KUCHING-- Dua lelaki dan seorang wanita dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan di Lorong 3 Jalan Stephen Yong Batu Kawa pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua lelaki berusia 33 dan 36 tahun manakala suspek wanita berusia 26 tahun ditangkap sekitar 9.15 pagi hasil maklumat daripada orang awam.


Jelasnya, dua suspek lelaki masing-masing mempunyai 16 dan 26 rekod kesalahan lampau atas pelbagai kesalahan jenayah sementara suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah lampau.



"Semasa kejadian ketiga-tiga mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan dan sedang cuba menghidupkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil. 


"Selepas pemeriksaan dibuat dapati kenderaan tersebut adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 16 Jun 2022 jam 1.59 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, selain tangkapan polis juga merampas kereta tersebut yang turut didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu termasuk besi berbentuk 'T'.


Mengulas lanjut kes kehilangan kereta itu, Abang Zainal berkata, kereta itu dilaporkan hilang oleh seorang wanita di Kenyalang Park jam 7 pagi pada 16 Jun lalu.


"Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek berada di dalam kenderaan tersebut.


"Suspek lelaki berusia 36 tahun ada terlibat satu kes pecah rumah bersabit Kota Sentosa namun telah dibebaskan kerana tiada keterangan untuk tuduh suspek berkenaan," dedahnya.


Katanya lagi, suspek telah diserahkan kepada pegawai penyiasat kes dan dimasukkan ke lokap Balai Polis Tabuan Jaya untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Next Post Previous Post