Bot tempatan kelas C ditahan, langgar syarat lesen perikanan

Gambar kredit Maritim Malaysia

BINTULU: Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen di sini, semalam. 


Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, bot berkenaan ditahan sekitar jam 1.05 petang pada jarak lebih kurang 6.5 batu nautika dari perairan Tanjung Kidurong.


Menurutnya, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti nelayan setempat mengenai aktiviti segelintir bot nelayan tempatan menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai.


"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan lima kru warga Indonesia mempunyai dokumen yang sah dan tekong warga tempatan yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 21 hingga 47 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Khairol berkata pasukan Maritim turut menyita bot, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, beserta 4,000 kilogram ikan campur.

 

Katanya, enam kru termasuk tekong beserta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.


"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.


Sementara itu ujarnya, Maritim Malaysia mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.


Katanya, Maritim Malaysia turut mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan aktiviti mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544).

Next Post Previous Post