Bonnie jangka atlet India, Nigeria pencabar utama di Birmingham
KUALA LUMPUR—Jaguh powerlifting negara kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin menjangkakan bakal berdepan cabaran sengit daripada dua atlet dalam usaha membawa pulang pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Atlet berusia 23 tahun, yang menjuarai Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan baru-baru ini, menamakan atlet India, Haryana Sudhir dan Rolland Ezuruike dari Nigeria sebagai pencabar utamanya pada temasya itu bermula 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Justeru, beliau berharap dapat memperbaiki teknik angkatan menjelang temasya berkenaan bagi merealisasikan sasaran satu emas menerusi sukan powerlifting.
"Banyak benda perlu diperbaiki dalam masa sebulan sebelum ke Sukan Komanwel...dari segi angkatan dan teknik dalam usaha memperbaharui catatan perbadi terbaik saya," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya di sini, hari ini.
Untuk rekod, Bonnie Bunyau memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada tahun lepas dan memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230 kilogram (kg) di Kejohanan Piala Dunia Fazza di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun tahun lepas.
Selain Bonnie, seorang lagi atlet powerlifting, Jong Yee Khie turut disenaraikan ke Sukan Komanwel kali ini.
Sementara itu, Shahrul Zaman yakin Bonnie Bunyau mampu menepati sasaran membawa pulang emas berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan dan rekod cemerlangnya.
"Dengan ranking Bonnie dan pencapaian beliau di Paralimpik, kita harapkan yang terbaik, dan beliau juga pemegang rekod dunia. Kita juga menaruh harapan pada Yee Khie," katanya.
Dalam pada itu, Shahrul Zaman, yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), berkata tiada sasaran diletakkan ke atas pasukan ragbi lelaki negara, namun berharap skuad Bunga Raya kendalian Mohd Saizul Hafifi Md Noor dapat menimba pengalaman di Birmingham.
"Peluang agak payah sebab mereka berada dalam satu kumpulan dengan negara-negara kuat seperti juara dunia Afrika Selatan, Scotland dan Tonga.
Ini penyertaan kali keenam skuad ragbi negara dalam temasya Sukan Komanwel sejak penampilan sulung ketika menjadi tuan rumah pada 1998.
Malaysia gagal layak beraksi pada edisi 2006 di Melbourne, Australia.
-- BERNAMA